|
Penglibatan
wanita dalam politik bermula bersama gerakan semangat
kebangsaan untuk memerdekakan tanah air. Cadangan
penubuhan Malayan Union pada 1945 bagi menamatkan
hak orang-orang Melayu telah membangkitkan penentangan
secara besar-besaran.
Wanita yang sebelum ini lebih tertumpu
pada pertubuhan berunsurkan kebajikan telah turut
terlibat buat pertama kalinya secara terbuka dalam
gerakan politik tanah air.
Dalam Mesyuarat Agung UMNO pada
tahun itu, tiga tokoh wanita UMNO iaitu Putih Mariah
Ibrahim Rashid dari Persatuan Melayu Perak, Zainab
Abdul Rahman dari Persatuan Melayu Seberang Perai
dan Salena Ali dari Persatuan Melayu Selangor telah
bertemu bagi membincangkan mengenai penubuhan sebuah
pergerakan wanita Melayu.
Ekoran pertemuan itu Jabatan Kaum
Ibu telah ditubuhkan pada 1947 dengan Putih Mariah
dilantik sebagai ketuanya yang pertama. Setahun
kemudian Jabatan Kaum Ibu diperbesarkan menjadi
Pejabat Setiausaha.
Pada 25 Ogos 1949, bertempat di
Butterworth, UMNO telah mengadakan Perhimpunan Agung
Wakil Wanita dari bahagian-bahagian UMNO bagi menubuhkan
satu badan yang dinamakan Ahli-ahli Perempuan UMNO
(APU) dengan Putih Mariah sebagai ketuanya. Inilah
pertubuhan politik wanita pertama wujud di Tanah
Melayu.
Setahun kemudian kepimpinan APU
diterajui oleh Tan Sri Zainun Sulaiman atau lebih
dikenali sebagai Ibu Zain. Di bawah kepimpinannya,
APU telah menambah ahli dan jumlah cawangannya.
Beliau telah menjelajah ke seluruh
pelusuk tanah air bersama sekeping peta Tanah Melayu
dan sehelai bendera UMNO di tangan, untuk memberi
penerangan mengenai politik dan kemerdekaan.
Tetapi antara September 1953 hingga
Oktober 1954, kepimpinan APU menghadapi masalah
apabila Ibu Zain terpaksa mengundurkan diri atas
sebab-sebab kesihatan.
Masalah timbul apabila Ibu Zain
mencadangkan supaya Raja Perempuan Perlis Tengku
Budriah mengambil alih sebagai ketua, tetapi beliau
hanya bersetuju mengambil alih selama tiga bulan
sahaja.
Oleh sebab itu, Jawatankuasa Kerja
Agung UMNO telah mengambil keputusan melantik Khadijah
Sidek menjadi Setiausaha Hal-Ehwal Kaum Ibu UMNO
dan Oegawai Penerangan Perempuan.
Kemudiannya, Khadijah dilantik
mengetuai Pergerakan itu sehingga 1956 apabila beliau
diberhentikan dan diganti oleh Fatimah Hashim sebagai
pemangku jawatan itu atas persetujuan Majlis Kerja
Tertinggi UMNO.
Pada 1956 nama APU ditukar kepada Pergerakan Kaum
Ibu UMNO. Fatimah telah dipilih menjadi ketua dalam
Perhimpunan Ahung UMNO pada 1957 dan beliau menerajui
Pergerakan itu hingga 1972.
Bagi menguji sokongan rakyat pada
UMNO, Kerajaan Brtish mencadangkan pilihan raya
Majlis Perundangan Persekutuan Pertama diadakan
pada 1955. Dalam pilihan raya itu Perikatan telah
memenangi 51 daripada 52 kerusi.
Dalam pilihan raya tersebut juga
calon wanita tunggal, Halimahton Abdul Majid telah
bertanding dan menang. Beliau merupakan Wakil Rakyat
wanita pertama.
Kemerdekaan Tanah Melayu membuka
lebih banyak peluang kepada wanita. Dari pilihan
raya 1959 di mana Ibu Zain dan Fatimah Hashim bertanding
kerusi Parlimen dan menang, hinggalah sekarang,
bilangan tokoh wanita bertanding dalam pilihan raya
bertambah.
Peristiwa 12 Mei 1969 telah turut
mempengaruhi corak politik tanah air. Pada Ogos
1971, UMNO mengadakan Persidangan Agung Khas bagi
mengatur corak perjuangan UMNO.
Perlembagaan UMNO telah dipinda
dan Pergerakan Kaum Ibu telah ditukar namanya kepada
Pergerakan Wanita UMNO bagi melambangkan imej dinamik.
Selepas Fatimah mengundurkan diri
pada 1972, kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO diterajui
oleh Aishah Ghani sehingga 1984, apabila dipimpin
pula oleh Datuk Seri Rafidah Aziz sehingga sekarang.
Pergerakan Wanita UMNO bertindak
sebagai penyokong kuat kepada UMNO dalam sebarang
perjuangan bagi mendaulatkan bangsa dan memajukan
Negara.
Dalam setiap kali pilihan raya
peranan ahli Pergerakan Wanita UMNO sangat besar
dalam memenangkan calon-calon Barisan Nasional.
Selain itu, ia juga terus mendapat tempat yang sewajarnya
di Negara merdeka.
Kemajuan yang dicapai oleh wanita
Malaysia sehingga hari ini adalah atas perjuangan
Pergerakan Wanita UMNO yang sentiasa bersama arus
pembangunan Negara. |