Semangat penubuhan UMNO pada 1946, turut membawa
kesedaran di kalangan masyarakat Melayu dalam
bidang sosio-ekonomi khususnya yang berkaitan
dengan pemburuhan. Berdasarkan Laporan Tahunan
Jabatan Buruh tahun 1947, senario peralihan masyarakat
Melayu melepasi ekonomi berbentuk tradisional
dan menyertai aktiviti ekonomi berupah mula ketara.
Keadaan itu jelas, ekoran peningkatan mendadak
dalam bilangan pekerja Melayu berupah pada tahun
1947 lebih 78,000 orang berbanding hanya 25,896
orang pada 1938.
Selepas kemerdekaan, peranan UMNO terus terserlah
membawa kemajuan dalam pelbagai segi pertambahan
bilangan kakitangan Melayu dalam perkhidmatan
awam, meningkatkan taraf hidup pekerja dan menjaga
kepentingan menerusi lunas perundangan.
Pada tahun 1946 dan 1947, masing-masing bilangan
pekerja Melayu dalam sektor kerajaan ialah 13,179
dan 17,247 orang. Jumlah itu dianggap rendah berbanding
dengan kaum lain terutamanya kaum India yang bilangannya
26,038 dan 31,366 orang masing-masing pada tempoh
yang sama.
Dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (CEB) pada
tahun 1970 bilangan pekerja Bumiputera di bidang
perniagaan borong dan runcit, kewangan dan perkhidmatan
kerajaan meningkat daripada 312,400 orang pada
tahun 1970 kepada 1,219,800 orang dua dekad kemudian
walaupun sasaran awal hanya 1,046,800 orang.
Pada tahun 1970, kadar pengangguran adalah 8
peratus tetapi ia menurun sehingga 6.5 peratus
pada 1980, 5.1 peratus (1990) dan sekitar 2.8
peratus pada tahun 1995 manakala dalam tempoh
yang sama jumlah tenaga kerja bertambah secara
berperingkat-peringkat dari 3.3 juta orang (1970),
5.1 juta (1980), 6.7 juta (1990) dan 7.1 juta
orang (1995).
Dari satu situasi sukar untuk mendapatkan pekerjaan
pada pertengahan 1980an yang membawa kerajaan
mengamalkan skim pekerjaan sementara selama enam
bulan kepada lepasan universiti dengan gaji RM
600.00 sebulan, kini negara mengalami kekurangan
tenaga kerja dan membuka pintu kepada pekerja-pekerja
asing.
Dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2),
proses menyusun semula gunatenaga terus dipegiatkan
dengan memberi keutamaan ke atas lima bidang.
Dasar Buruh Negara diperkenalkan bagi mempercepatkan
pertubuhan ekonomi dan mempertingkatkan mutu kehidupan
pekerja negara ini.
Malaysia diterima sebagai anggota ke-79 Pertubuhan
Buruh Antarabangsa (ILO) pada 1957, sebaik sahaja
mencapai kemerdekaan.
Selaras dengan kedudukan itu, Malaysia telah
menerima pakai dan mengiktiraf konvensyen-konvensyen
ILO dari masa ke semasa. Adakalanya Malaysia juga
mempunyai pandangan berbeza dan tidak mempersetujui
sesetengah keputusan badan itu, antaranya tindakan
mengaitkan fasal sosial dengan perdagangan.
Walaupun sehingga tahun lalu hanya 12 peratus
daripada keseluruhan tenaga kerja menganggotai
kesatuan sekerja, kerajaan bertanggungjawab menjaga
kepentingan semua pekerja negara ini menerusi
penguatkuasaan sebanyak 20 undang-undang.
Menyentuh tentang pembangunan sumber manusia,
sektor awam merupakan tunggak menentukan kemajuan
negara dengan kini bilangannya dalam lingkungan
831,049 orang (tahun 1995).
Pembaharuan awal dalam perkhidmatan awam telah
dilakukan pada tahun 1948 dengan penubuhan Bahagian
Organisasi dan Kaedah (O&M) di Perbendaharaan
yang bertujuan untuk mengkaji cara bekerja dan
mengesyorkan perubahan-perubahan pentadbiran.
Perubahan ke atas perkhidmatan semakan drastik
mulai tahun 1965. Selaras dengan matlamat DEB,
program pembaharuan pentadbiran terus diberi perhatian
dengan penubuhan Institut Tadbiran Awam Negara
(INTAN) pada 1977.