UMNO berjaya memerdakakan Tanah Melayu pada 31
Ogos 1957 dan membolehkan Negara menyertai “keluarga
negara bangsa” di pentas dunia sebagai sebuah
Negara yang bebas dan berdaulat. Mulai detik itu,
hal ehwal Tanah Melayu tidak lagi tertakluk kepada
apa yang diputuskan oleh London.
Kita bebas mengamalkan dasar luar sendiri yang
bertujuan untuk menjaga kepentingan nasional dan
melindungi kedaulatan dan keluhuran wilayah kita
serta menjaga keselamatan, kebajikan warga dan
kemakmuran ekonomi. Sejajar dengan iklim antarabangsa
yang agak bergelora dengan badai perang dingin
sewaktu itu, kita mengambil daya usaha untuk memperbanyakkan
sahabat dan mengurangkan musuh di mana boleh.
Ini dilakukan dengan menjalin hubungan diplomatic
dengan Negara-negara lain, yang juga bebas dan
berdaulat, yang mahu bersahabat dengan kita.
Dari segi pertahanan, Persekutuan Tanah Melayu
mempunyai perjanjian keselamatan dengan United
Kingdom, melalui Anglo-Malayan Defence Agreement
(AMDA) yang kemudiannya digantikan dengan Five
Power Defence Arrangement.
Selain menganjurkan dasar hidup aman damai secara
bersama, kita juga berpegang pada prinsip saling
hormat menghormati kedaulatan dan keluruhan wilayah
sesebuah negara. Di bawah pimpinan UMNO juga,
Persekutuan Tanah Melayu memutuskan bahawa setiap
Negara bebas memilih ideology politik, system
ekonomi dan social mereka sendiri. Dengan erti
kata lain, tidak ada kuasa berhak memaksa nilai
hidup mereka ke atas negara-negara lain.
Sekalipun antara 1957 hingga 1996, UMNO sudah
bertukar pemimpin sebanyak empat kali –
daripada Tunku Abdul Rahman ke Tun Abdul Razak,
kemudian Tun Hussein Onn den selepas itu Dr. Mahathir
Mohamad, pegangan asasi yang menjadi paksi bagi
kita berinteraksi dengan Negara-negara lain telah
dipertahankan. Dasar luar sebagai sebahagian dasar
nasional telah digerakkan untuk merealisasikan
cita-cita Negara di pentas dunia dan forum-forum
antarabangsa.
Kemunculan Persekutuan Tanah Melayu sebagai aktor
antarabangsa bermula dengan penerimaannya sebagai
anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),
yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat
secara sebulat suara pada 1957. Kita juga turut
menganggotai pelbagai pertubuhan antarabangsa
yang lain. Melalui badan dunia itu, pandangan
kita tentang hal ehwal antarabangsa telah diketengahkan,
baik melalui Perhimpunan Agung yang mengadakan
persidangan setahun sekali, atau melalui Majlis
Keselamatan, sebuah lagi organ PBB yang dianggotai
oleh 15 buah negara – lima anggota tetap
yang terdiri daripada Amerika Syarikat, soviet
Union (sekarang Rusia), United Kingdom, Perancis
dan China dan 10 buah negara anggota tidak tetap
yang dipilih setiap dua tahun sekali berdasarkan
agihan wilayah. Persekutuan Tanah Melayu juga
diterima menjadi anggota badan – badan khusus
PBB seperti UNESCO, UNICEF, ILO, WHO, UNHCR dan
lain – lain. Kita juga diterima untuk menyertai
institusi ekonomi dan kewangan dunia seperti Bank
Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Di peringkat pelbagai rantau, Persekutuan Tanah
Melayu antara lain diterima menjadi ahli Komanwel,
Persidangan Negara – negara Islam (OIC),
Pergerakan Berkecuali, G77.
Di kawasan Asia Tenggara pula, Persekutuan Tanah
Melayu memainkan peranan yang proaktif dalam menganjurkan
kerjasama serantau. Pada Januari 1959, pembentukan
SEAFET (Southeast Asia Friendship and Economic
Treaty) telah diumumkan ekoran rundingan antara
Tunku Abdul Rahman dengan Presiden Garcia dari
Filipina, Indonesia, Kerajaan Thai, Kemboja, Laos,
Vietnam Selatan dan Burma telah diundang menyertainya.
Kerajaan Thai dan Vietnam Selatan mengalu –
alukan kehadiran SEAFET tetapi Indonesia menolak
atas alasan bahawa dua negara anggota iaitu Persekutuan
Tanah Melayu dan Filipina mempunyai hubungan pertahanan
dengan kuasa penjajah. Filipina menganggotai SEATO
manakala Persekutuan Tanah Melayu memiliki pakatan
pertahanan dengan Britain melalui AMDA. Akibatnya,
SEAFET tidak dapat bertahan lama. Lepas itu, Persekutuan
Tanah Melayu bersama Negara Thai dan Filipina
mengasaskan ASAS (Association of South East Asia
States) yang kemudian menjadi ASA (Association
of Southeast Asia) pada Julai 1960.
ASA juga berkubur ekoran pergeseran antara Filipina
dan Persekutuan Tanah Melayu mengenai penubuhan
Malaysia.
Usaha untuk menubuhkan MAPHILINDO yang menggabungkan
Persekutuan Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia
juga gagal kerana tercetusnya konfrantasi Malaysia
– Indonesia. Setelah konfrantasi tamat,
Malaysia sekali lagi memainkan peranan penting
dalam penubuhan Persatuan Negara – negara
Asia Tenggara atau ASEAN – sebuah pertubuhan
serantau yang bukan saja dapat bertahan sehingga
kini, tetapi menambah keanggotaannya daripada
5 kepada 7. Di bawah pimpinan UMNO, Malaysia juga
memainkan peranan utama menjadikan Asia Tenggara
sebagai sebuah kawasan aman, bebas dan berkecuali
di bawah gagasan ZOPFAN dan berusaha untuk menjadikan
rantau ini sebagai kawasan yang bebas daripada
senjata nuklear.
Sejajar dengan kepentingan nasional – politik,
ekonomi, keselamatan dan lain – lain, serta
perubahan dalam iklim antarabangsa sejak 1945
yang melalui era perang dingin, détente
dan berkuburnya sistem komunisme sebagai satu
sistem pemerintahan dan kini era pasea –
kapitalis, interaksi Malaysia dengan negara –
negara luar yang lain turut mengalami perubahan
dari segi orientasi dan pendekatan. Dasar luar
Persekutuan Tanah Melayu yang agak pro Barat dan
anti komunis di bawah Tunku Abdul Rahman, bertukar
menjadi berkecuali di bawah presiden UMNO yang
ketiga, Tun Abdul Razak Hussein. Di bawah pimpinan
Tun Hussein, tidak ada perubahan radikal dalam
pendekatan dasar luar.
Bagaimanapun di bawah pimpinan presiden UMNO
yang kelima, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad,
orientasi dasar luar negara telah dirombak secara
besar – besaran. Sekalipun kecil, Malaysia
telah memainkan peranan yang proaktif dalam hal
ehwal dunia. Benar, pada mula mengabilalih pimpin
negara pada Julai 1981, Dr. Mahathir menjelaskan
bahawa keutamaan dasar luar negara dalam berinteraksi
dengan unit – unit politik antarabangsa
lain tidak berubah. ASEAN berada ditangga pertama,
diikuti oleh OIC ditempat kedua; ketiga, negara
– negara berkecuali; keempat, Komanwel dan
akhir sekali hubungan dengan negara – negara
lain yang tidak termasuk dalam empat pertubuhan
itu.
Secara berperingkat – peringkat, Dr. Mahathir
kemudiannya telah membebaskan dirinya daripada
ikatan empat keutamaan itu dengan mengambil pendekatan
yang lebih global terutama dalam menegakkan keadilan
bagi dunia membangun.
Beliau mengambil daya usaha untuk menubuhkan
organisasi antarabangsa pelbagai rantau. Pada
mulanya, negara – negara Selatan menjadi
fokus sehingga tertubuhnya Kumpulan 15 (G 15)
yang dianggotai oleh 15 buah negara utama Selatan.
Malaysia bukan sahaja mempelopori G 15, tetapi
menjadi penggerak kepada penubuhan beberapa agansi
Selatan yang lain seperti SITDEC. Selepas itu,
perhatian diberikan kepada Asia Timur pula. Dr.
Mahathir pada mulanya mencadangkan penubuhan East
Asia Economic Group (EAEG) yang bertujuan untuk
menyatukan negara – negara Asia Timur di
bawah satu gabungan longgar menyamai kumpulan
– kumpulan ekonomi pelbagai rantau di kawasan
lain. EAEG akhirnya menjadi EAEC (East Asia Economic
Caucus) yang sekarang ini dalam proses untuk menjadi
kenyataan.
Kecuali Jepun, negara – negara Asia Timur
yang lain menyatakan sokongan positif terhadap
penubuhan EAEC yang tidak bertujuan untuk menjadi
satu blok ekonomi seperti NAFTA atau EU. Pada
waktu yang sama, Malaysia tidak menolak untuk
menganggotai pertubuhan serantau baru yang didayausahakan
oleh pihak lain.
Walaupun Malaysia adalah sebuah negara kecil,
tetapi ia tetap memainkan peranannya dalam menjaga
keamanan antarabangsa. Melalui panji – panji
PBB, askar – askar dan polis negara berkhidmat
dengan pasukan keamanan badan dunia di segenap
pelusuk dunia yang bergolak dan berkonflik.
Dalam arena antarabangsa, Malaysia telah diberi
pelbagai penghormatan. Pada 1987, Dr. Mahathir
telah dipilih menjadi Presiden Persidangan Dadah
Antarabangsa di Geneva, Switzerland anjuran ICDAIT.
Bagi penggal salama dua tahun 1989 – 1990,
Malaysia dilantik menjadi Pengerusi Kumpulan G77
di Bangsa – bangsa Bersatu. Pada 1988 –
1989, Malaysia terpilih untuk menganggotai Majlis
Keselamatan PBB. Wakil Malaysia, Tan Sri Musa
Hitam telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia PBB manakala seorang hakim negara,
Datuk Wira Lal Chan Vohrah, diberi penghormatan
untuk menjadi hakim Tribunal Jenayah Perang bekas
Yugoslavia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),
The Hague, Belgrade.
Di samping itu, negara juga diberi penghormatan
untuk menjadi tuan rumah sebilangan persidangan
antarabangsa bertaraf dunia, seperti Kemuncak
Komanwel pada 1990. Malaysia juga buat pertama
kalinya telah dipilih menjadi tuan rumah Sukan
Komanwel XVI pada 1998.
Sesungguhnya di bawah pimpinan kerajaan yang
diterajui UMNO, Malaysia telah berjaya meletakkan
dirinya di satu tahap yang amat membanggakan di
pentas dunia. Dari sebuah negara kecil yang tidak
begitu dikenali, kita sekarang memainkan peranan
yang tidak kurang pentingnya dalam membentuk hal
ehwal dunia pada umumnya dan dalam hal ehwal negara
membangun khususnya. Malaysia tidak lagi menjadi
anggota masyarakat antarabangsa yang pasif, tetapi
proaktif.