UMNO hari ini
dikenali sebagai parti yang terbesar dan menjadi
teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang
terbanyak dan pemimpin-pemimpinnya berperanan dalam
membuat dasar-dasar. Ia adalah antara parti bercorak
demokratik yang tertua di negara-negara membangun
dan masih kuat kedudukannya setelah melalui berbagai
peristiwa dan cabaran. Ia dihormati oleh kawan dan
lawan di atas prinsip-prinsip keadilannya, ketegasan
dan keupayaannya menjalankan dasar-dasar yang telah
dipersetujui.
Lahirnya UMNO adalah hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan
Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat
tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk
survival bangsa Melayu. Berhadapan dengan rancangan
Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang
Dunia Yang Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan
sukarelanya membubar diri masing-masing demi membuka
jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai
pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat
Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka.
Di bawah rancangan British, dasar pro-Melayu sebelum
Perang akan dirombak sekaligus, dan orang-orang
Melayu sebagai penduduk asal negara ini terpaksa
bersaing dengan orang-orang mendatang, iaitu suatu
kejadian yang tidak diduga sama sekali oleh mereka
kerana sepanjang penjajahan British mereka diberi
perlindungan dari ancaman golongan-golongan tadi
di samping jaminan bahawa ini adalah negeri Melayu
yang diperintah bagi pihak Raja-Raja Melayu.
Rancangan Malayan Union yang dipaksakan ke atas
mereka tanpa sebarang rundingan adalah amat menggemparkan.
Jika sebelum ini orang-orang Melayu berpecah-pecah
dengan berbagai sentimen kenegerian dan pemandangan
yang sempit, sekarang mereka yang mula melihat realiti
di depan mereka, telah bangkit menentang rancangan
itu. Kebangkitan ini merupakan reaksi yang spontan
dengan orang-orang Melayu bersatu hati dan tenaga
agar kedudukan mereka terpelihara.
Penubuhan UMNO pada 11hb Mei 1946, dengan Dato'
Onn bin Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama
dapat dikatakan sebagai mengelak orang-orang Melayu
di Tanah Melayu dari tenggelam di bawah satu perkembangan
politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan
golongan-golongan lain yang lebih maju.
Nasionalisme Melayu sebelumnya agak malap kerana
wujudnya penduduk berbilang kaum sebagai factor
penghalang, penekanan oleh penjajah, tendensi masyarakat
Melayu untuk berpecah-belah mengikut negeri, ketiadaan
kesedaran politik yang meluas serta terdapat kemakmuran
ekonomi yang membolehkan kehidupan sederhana kepada
sebilangan besar rakyat.
Semangat kebangsaan Melayu yang baru meletus secara
meluas itu perlu untuk menjaga keutuhan masyarakat
yang sejak beberapa lama merupakan penduduk asal
kepada kawasan ini. Seluruh penentuan hidup di negara
ini sekarang ada hubungan langsung atau tidak langsung
dengan nasionalisme Melayu.
Tetapi nasionalisme ini bukan suatu yang sempit
kerana telah diperluaskan untuk merangkumi lain-lain
kaum demi perpaduan dan kestabilan negara. Di peringkat
awal pergerakan kearah kemerdekaan adalah disedari
tidak mungkin bagi sesuatu kaum memaksakan politiknya
dan menolak kenyataan hadirnya kaum-kaum lain yang
juga berhak untuk menyertai dalam politik negara.
Usaha-usaha dibuat bagi mengeratkan kerjasama di
antara kaum sehingga tertubuhnya Perikatan UMNO-MCA
pada awal 1952 bila kedua-dua parti ini bertanding
dalam pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur. Kemenangan
telah diperolehi oleh kedua-duanya dan ini membawa
kepada kerjasama yang lebih jauh menjelang kemerdekaan.
Pada tahun 1955 bagi menghadapi pilihanraya umum
yang pertama, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah diwujudkan
sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama yang
rapat antara kaum-kaum. Dengan pimpinan Tunku Abdul
Rahman Putra, kemenangannya yang cemerlang telah
diperolehi. Maka jelaslah kepada pihak penjajah
bahawa kaum-kaum di Tanah Melayu adalah bersatu
hati dan boleh merdeka. |